Wednesday, 20 May 2015

PROGRAMME FOR INTERNATIONAL STUDENT ASSESSMENT (PISA)

PISA dianjurkan oleh satu pertubuhan negara-negara maju dan membangun iaitu Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) yang bertujuan mengukur pencapaian murid berumur 15 tahun ke atas dalam domain literasi matematik, literasi sains dan juga literasi bacaan untuk menilai pengetahuan dan kemahiran remaja untuk menjadi ahli masyarakat yang berjaya. Pada asalnya OECD ditubuhkan untuk mentadbir rancangan penstrukturan semula negara Eropah selepas Perang Dunia Kedua. PISA dilakukan atas desakan negara-negara ahli untuk mendapatkan data yang relevan dan boleh dipercayai tentang pengetahuan dan kemahiran pelajar serta system pendidikan negara mereka.

            Pada pertengahan tahun 1990, OECD mula merancang pembentukan PISA dan kemudiannya dirasmikan pada tahun 1997. Namun begitu, pelaksanaan PISA buat pertama kalinya diadakan pada tahun 2000. Tempoh pelaksanaan PISA adalah selang tiga tahun sekali bermula pada tahun 2000 dan diikuti tahun 2003, 2006, 2009 dan 2012. Malaysia mula menyertai PISA pada tahun 2009 iaitu tahun keempat pelaksanaannya. Pada PISA 2015 yang bakal dijalankan pada bulan Jun 2015 ini merupakan penyertaan Malaysia buat kali ketiga. Ketika PISA pertama kali diadakan, sebanyak 43 negara telah mengambil bahagian antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Korea Selatan, Jepun dan juga beberapa negara lain.

            PISA ditaja, ditadbir dan diselaraskan oleh OECD manakala reka bentuk ujian, pelaksanaan dan analisis data diwakilkan kepada konsortium antarabangsa di institusi penyelidikan dan pendidikan yang diterajui oleh Majlis Penyelidikan Pendidikan Australia (ACER). Tugas umum ACER ialah membangunkan dan melaksanakan prosedur persampelan dan memantau hasil pensampelan di seluruh negara. Selain itu, instrumen penilaian PISA juga dibina dan ditapis oleh ACER. Di samping itu, ACER telah membangunkan sebuah perisian yang dikenali sebagai KeyQuest untuk membantu pensampelan dan perolehan serta penganalisisan data.
            OECD berpendapat bahawa PISA merupakan satu kaedah ujian yang sangat unik. Hal ini demikian kerana PISA memberi manfaat daripada ciri-cirinya yang bersifat universal iaitu dilakukan di hampir seluruh negara di dunia dan kekerapan pelaksanaannya. Terdapat lebih daripada 70 buah negara di dunia yang mengambil bahagian dalam pelaksanaan PISA setakat ini dan kaji selidik yang diberi setiap tiga tahun membolehkan setiap negara untuk mengesan kemajuan mereka dalam memenuhi matlamat utama pembelajaran. PISA juga adalah satu-satunya kajian pendidikan antarabangsa  untuk mengukur pengetahuan dan kemahiran daripada remaja yang berumur 15 tahun iaitu usia pelajar di kebanyakan negara yang sudah hampir  kepada penghujung tahun wajib persekolahan.

            Di Malaysia, sampel kajian dipilih dalam kalangan murid yang berumur 15 tahun ke atas di semua jenis sekolah di seluruh Malaysia. Kaedah pemilihan sampel sekolah adalah dengan menggunakan kaedah Stratified Multi Stage Cluster Sampling. Melalui kaedah pemilihan ini, sebanyak 150 buah sekolah dipilih secara rawak dan kebarangkalian untuk setiap negara menghantar semua sampel yang terdiri daripada sekolah yang cemerlang adalah sangat tipis. Oleh yang demikian, satu sampel yang mempunyai kepelbagaian sama ada dari segi latar belakang sekolah atau latar belakang sosioekonomi dapat dihasilkan sekaligus menjadikan penilaian prestasi antara negara lebih berkesan. Untuk sampel murid pula, sebanyak 35 orang murid dipilih secara rawak dengan menggunakan aplikasi yang dibangunkan oleh ACER iaitu aplikasi KeyQuest.

            Keunikan PISA juga dapat dilihat daripada pemeriksaan penguasaan kurikulum tertentu di sekolah yang menilai keupayaan pelajar untuk mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengajian utama dan menganalisis, menjelaskan dan berkomunikasi dengan berkesan di samping mereka meneliti, mentafsir dan juga menyelesaikan masalah. Selain itu, pelajar tidak boleh mempelajari kesemua perkara yang mereka perlu tahu hanya di sekolah. Dalam usaha untuk menjadi pelajar yang mengamalkan kaedah pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learners) yang berkesan, pelajar bukan hanya memerlukan pengetahuan dan kemahiran tetapi juga kesedaran yang tinggi tentang tujuan dan kaedah mereka belajar. Oleh yang demikian PISA menguji dan menilai prestasi pelajar di dalam literasi bacaan, literasi Matematik dan juga literasi Sains di samping memupuk pelajar tentang motivasi dalam diri mereka, kepercayaan kepada diri sendiri dan juga strategi pembelajaran.

            Sehingga kini, PISA telah menjalankan ujian menggunakan kaedah pensel dan kertas ujian (pencil-and-paper tests). Soalan ujian terdiri daripada kedua-dua bentuk iaitu soalan objektif dan soalan yang memerlukan pelajar untuk membina jawapan mereka sendiri. Bentuk-bentuk soalan selalunya terdiri daripada beberapa potong ayat yang disertakan dengan gambar, graf atau jadual yang menyatakan situasi kehidupan sebenar. Setiap pelajar menduduki ujian selama dua jam tempohnya. Pada tahun 2009 dan 2012, hanya beberapa negara telah memilih untuk menumpukan masa untuk penilaian berasaskan komputer manakala pada tahun 2015 pelaksanaan PISA juga akan melibatkan simulasi ujian berkomputer tanpa ada pengecualian.

            Untuk pemilihan soalan PISA, semua negara peserta dijemput untuk mengemukakan soalan kepada kontraktor atau lebih dikenali sebagai konsortium antarabangsa. Di samping itu, konsortium antarabangsa juga turut menulis beberapa soalan dalam masa yang sama. Kemudiannya, soalan-soalan yang dikemukakan akan dikaji semula oleh konsortium antarabangsa untuk memastikan soalan tidak bias kepada sesuatu negara. Pemilihan dan penentuan soalan PISA dilakukan atas dasar sebuat suara dan akan digunakan dalam PISA. Seterusnya, soalan yang telah dipilih akan dijalankan secara percubaan bagi untuk mengenalpasti sama ada terdapat soalan yang terlalu sukar atau terlalu mudah bagi sesebuah negara. Sekiranya terdapat soalan yang terlalu sukar atau terlalu mudah, ACER bertanggungjawab menggugurkan daripada ujian PISA sebenar.

            Instrumen kajian PISA terdiri daripada empat perkara iaitu ujian bertulis, soal selidik murid, ujian berkomputer dan juga soal selidik pengetua. Bagi ujian bertulis, masa diperuntukkan kepada pelajar adalah selama 2 jam untuk menjawab soalan yang terdiri daripada item-item aneka pilihan dan juga soalan terbuka. Item-item tersebut disusun dalam kumpulan berdasarkan teks yang menggambarkan situasi dalam kehidupan sebenar. Ujian berkomputer pula merangkumi sebanyak 18 hingga 20 soalan berbentuk penyelesaian masalah. Murid akan menggunakan komputer untuk membuat simulasi sebelum menjawab soalan PISA.  Soal selidik murid dilakukan untuk mengkaji latar belakang murid, persepsi dan juga sikap murid terhadap subjek Sains, Matematik dan juga kemahiran membaca. Selain itu, soal selidik ini juga menilai tahap motivasi dan amalan strategi pembelajaran murid. Soal selidik pengetua pula bertujuan mengumpul maklumat berkenaan sekolah. Maklumat soal selidik membantu negara untuk melihat perkaitan antara keputusan PISA dengan faktor yang mempengaruhinya seperti jantina, perpindahan sekolah, latar belakang sosioekonomi, sikap pelajar tentang sekolah dan pendekatan pembelajaran yang digunakan.

            Setiap negara peserta mesti menyediakan sampel sekurang-kurangnya 5000 pelajar. Namun begitu, sekiranya negara tersebut mempunyai bilangan penduduk yang sedikit, maka keseluruhan kohort akan diuji manakala bagi negara yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai, maka sampel lebih besar diperlukan untuk perbandingan antara wilayah. Untuk penskalaan data pula, markah diskalakan supaya purata setiap domain adalah 500 dan sisihan piawai adalah 100. ACER telah melantik beberapa orang penanda ujian PISA yang ditauliahkan bagi setiap negara untuk menanda skrip jawapan PISA menggunakan panduan yang telah ditetapkan oleh pakar PISA. Penandaan skrip disilang periksa oleh pakar lain bagi meminimumkan kesalahan yang dilakukan ketika melakukan penandaan. Data akhir akan dihantar ke OECD untuk menentukan kedudukan PISA bagi negara yang mengambil bahagian.


            PISA tidak diberikan markah secara kolektif sebaliknya markah diberi untuk setiap subjek dan kedudukan negara-negara disenaraikan mengikut skor purata setiap domain. Malaysia mula menyertai PISA pada tahun 2009 dan berada pada tempat ke-57 daripada 74 negara peserta dengan skor sebanyak 404. Skor min antarabangsa pada tahun 2009 ialah 458 dan hal ini menunjukkan pencapaian Malaysia masih di bawah tahap memuaskan dan perlu lebih banyak penambahbaikan. Pada tahun 2012, Malaysia berada pada kedudukan ke-52 daripada 65 negara peserta dengan skor 421 berbanding skor antarabangsa iaitu sebanyak 494. Berdasarkan kedudukan dan skor yang diperoleh Malaysia, terdapat banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilakukan agar tahap pendidikan Malaysia berada setaraf dengan negara-negara lain seperti China, Singapura, Korea Selatan, Jepun dan juga Finland.

No comments:

Post a Comment